Penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun, teruja untuk mengharungi saingan Piala Malaysia 2019 selepas melakar 12 jaringan peribadi sejak pertengahan musim ini.

Olusegun mula menyertai skuad kendalian B. Sathianathan itu dalam jendela perpindahan kedua awal tahun ini, namun dia sudah pun membuktikan sentuhan berbisanya ketika meledak hatrik dalam penampilan pertamanya.

Penyerang kelahiran Nigeria itu menempa nama dalam senarai tiga penjaring terbanyak Liga Super 2019 apabila hanya dibezakan dua gol dengan pemain import PKNS, Kpah Sherman, yang mengumpul 14 gol.

"Apa yang penting adalah tiga mata selain membantu pasukan meraih tangga ketiga.

"Ia usaha secara sepasukan yang menuntut kami beraksi baik, mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan gol.

"Saya hanya membantu memasukkan bola ke dalam gawang tetapi semua ini adalah hasil kerjasama sepasukan, malah aksi kami bertambah baik," katanya selepas meledak dua gol untuk membenam PKNS 3-2 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Baginya, aksi cemerlang itu adalah hasil bantuan daripada rakan sepasukan yang telah bekerjasama bagi memantapkan pasukan.

Tambah pemain berusia 28 tahun itu, jika mereka mengekalkan keserasian dan momentum dalam aksi Piala Malaysia, dia optimis skuad The Red Giants mampu memperoleh keputusan positif.

"Aura Piala Malaysia sangat kuat kerana anda boleh lihat pasukan lebih kerdil mampu melangkah jauh.

"Saingan liga melibatkan 22 perlawanan dan kalau anda tidak bagus, tuah tidak akan sentiasa mengiringi anda.

"Tetapi untuk betul-betul bagus dalam Piala Malaysia pula, anda mungkin tidak akan beraksi baik dalam pertemuan pertama, namun tuah mungkin akan memihak anda dalam pertemuan kedua.

"Justeru, mentaliti untuk kami menghadapi saingan ini berbeza. Kami perlu kurangkan faktor dibolosi sambil mencetak lebih banyak gol lagi," tambahnya.