Pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme, keliru dengan peraturan gol di laman lawan ketika disingkirkan Kedah dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur semalam.

Pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu dilihat meraikan gol penyamaannya kerana memikirkan ia mampu membawa mereka ke penentuan sepakan penalti.

Hakikatnya, Pahang masih ketinggalan kerana Kedah terlebih dahulu merekodkan lima jaringan di gelanggang lawan -- lebih dua berbanding mereka.

Difahamkan, beberapa pemain di atas padang tidak arif dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu walaupun sudah diberikan taklimat sebelum perlawanan bermula.

Peraturan terdahulu memperuntukkan hanya gol laman lawan dalam tempoh 90 minit sebenar akan dikira tetapi ia tidak lagi relevan dalam saingan kali ini.

"Saya beritahu bahawa masih belum habis dan masih ada peluang lagi.

"Jangan tunjukkan kelemahan kita tetapi benda itu berlaku juga.

"Saya tidak boleh nak cakap apa, benda sudah berlaku.

"Kami bangkit semula dan mereka sangka gol kelima itu dapat menyelamatkan kami ke penentuan penalti.

"Padahal kami sudah pesan.

"Dickson pula tidak perasan perkara itu," kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, disusuli tawa kecilnya.

Nwakaeme hanya menyedari peluang pasukannya sudah tertutup sebaik wisel penamat ditiupkan.

Dia kemudian dilihat gagal mengawal emosinya sebelum meninggalkan padang.

"Saya pun sudah tidak boleh nak kata apa-apa lagi.

"Apapun, saya bangga jugalah dengan pemain walaupun kami sebenarnya tidak tewas.

"Kami hanya kurang jaringan di tempat lawan.

"Apa sekalipun, tahniah untuk Kedah," tambah Dollah.