Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak hilang fokus dalam baki 90 minit permainan ketika menghadapi Melaka di depan penyokong sendiri malam ini untuk mengelak daripada menjadi mangsa kejutan.

Meskipun mempunyai kelebihan gol di tempat lawan menjelang aksi timbal balik di Stadium Darulmakmur itu, anak buah Dollah Salleh masih dihantui kekalahan di tangan Perak.

Ia menyaksikan skuad Tok Gajah itu tumbang 3-4 kepada The Bos Gaurus di pentas separuh akhir Piala FA musim ini biarpun berbekalkan kemenangan 3-1 di laman sendiri.

Berdepan situasi sama dalam kempen Piala Malaysia, Pahang enggan skrip sama berulang susulan kejayaan membenam skuad Hang Tuah 3-0 minggu lalu.

Nor Azam menjadi watak penting dalam pertemuan pertama di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu, apabila membantu pasukannya meraih jaringan selepas dimasukkan dalam babak kedua.

"Saya harap pemain-pemain bersedia, jangan pandang rendah dan berasa selesa selepas mendahului 3-0.

"Saya harap rakan sepasukan dapat bermain dengan bersemangat dan kekal fokus," katanya dalam persiapan terakhir di Kuantan, semalam.

Begitupun, perancang tengah Harimau Malaya berkenaan akan direhatkan dalam aksi timbal balik itu ekoran belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

"Sakit sudah tiada, cuma pergerakan saya belum di tahap 100 peratus.

"Kalau jurulatih tetap mahukan saya beraksi, saya akan cuba berikan apa yang saya boleh lakukan."