Masih ada baki tugasan yang menanti tonggak muda skuad Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, biarpun cabaran pasukannya dalam saingan liga tempatan sudah berakhir musim ini selepas tumpas kepada Sabah dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, kelmarin.

Tersingkirnya Kelantan di peringkat suku akhir Pala Malaysia juga bermakna cabaran mereka bagi musim 2018 telah tamat, namun tidak bagi Nik Akif yang masih mempunyai tugasan bersama skuad negara apabila saingan Piala AFC Bawah 19 Tahun bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 18 Oktober ini.

Bagaimanapun, Nik Akif menjelaskan dia masih belum mendapat sebarang perkhabaran dan panggilan skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan itu daripada ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, tetapi tetap bersedia andai khidmatnya diperlukan.

"Untuk pasukan B-19, saya masih belum menerima panggilan daripada jurulatih. Mungkin saya akan dihubungi apabila sudah pulang ke Kelantan," katanya.

Bercakap mengenai hala tujunya musim depan, Nik Akif menegaskan dia masih mahu berbakti dengan negeri kelahirannya, Kelantan, di sebalik khabar angin yang mengaitkannya untuk berhijrah ke pasukan baru.

Dia masih memiliki baki kontrak selama dua tahun bersama The Red Warriors dan mempunyai misi yang belum selesai dengan pasukan itu, iaitu kembali memulihkan reputasi Kelantan sebagai antara kuasa bola sepak tempatan.

"Bagi saya, lebih baik untuk saya terus bersama skuad negeri (Kelantan).

"Saya akan cuba kekal bagi saingan musim depan."