Nidzam sambut positif anak buah mula jadi buruan

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2019 697
 Nidzam sambut positif anak buah mula jadi buruan
Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, bersikap positif dengan situasi pemainnya yang kini dipancing beberapa pasukan tatkala The Fighters mempunyai misi penting untuk dilunaskan dalam kempen Piala Malaysia 2019.

Tonggak Felda United ketika ini menjadi buruan beberapa pasukan untuk musim baru Liga Malaysia (Liga-M).

Selain Danial Amier Norhisham yang sudah mendapat tawaran rasmi daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), Hadin Azman, Zahril Azri Zabri dan Anwar Ibrahim turut dilamar pasukan lain.

Ketika ia tampak menjejaskan perjuangan kelab itu dalam Piala Malaysia, Nidzam bagaimanapun menyuarakan pandangan sebaliknya.

"Dalam era bola sepak profesional, kami tidak boleh mengelak pemain daripada disunting dan itu bermakna saya dan barisan kejurulatihan telah membuat kerja yang positif sehingga mereka dipantau pasukan lain. 

"Apapun, saya lebih gembira untuk melihat mereka dikekalkan," kata pengendali berkenaan. 

Skuad Felda perlu bangkit daripada kekalahan di tangan PDRM FA untuk menyalakan harapan kembali bersaing dalam Kumpulan D.

Justeru, mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan ke atas Melaka United dalam perlawanan ketiga di laman sendiri, Sabtu ini. 

"Adalah penting kami meraih keputusan dan memberikan persembahan positif untuk menamatkan pusingan pertama ini dengan kemenangan supaya kami boleh kekal bersaing," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen