Penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adzha Yusof, tidak berasakan pemainnya melakukan 'boikot' gara-gara kemelut yang berlaku di luar padang apabila pasukan itu tewas mengejut kepada Felda United dalam saingan Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, semalam.

Pasukan itu berpotensi untuk melangkah awal ke suku akhir selepas mencatatkan dua kemenangan daripada tiga perlawanan terakhir, termasuk ketika menewaskan Felda United 3-1 di tempat lawan minggu lalu.

Namun, entah di mana silapnya, skuad Hang Tuah itu mengalami prestasi terburuk sebelum tewas 1-3 semalam tatkala masalah tunggakan gaji pemain dikatakan masih menyelubungi mereka.

"Saya tak nampak ada gangguan daripada luar atau masalah yang mengganggu pasukan.

"Yang pasti, kami perlu bekerja keraslah untuk meningkatkan kembali prestasi kami.

"Sebab kami boleh beraksi baik di tempat lawan dan malangnya, (prestasi) malam ini agak menurun," katanya

Dalam pertemuan di Stadium Hang Jebat itu, Melaka terlebih dahulu di depan hasil jaringan Luka Milunovic, namun lawan mereka bangkit menerusi gol berganda Hadin Azman dan satu daripada Daniel Amier Norhisham.

Pengendali Felda United, Nidzam Jamil, memuji semangat dan komitmen tinggi pemainnya ketika mereka di ambang penyingkiran awal daripada kempen kali ini.

"Saya cuma kata kepada mereka (pemain), kalau kami menang, kami ada beberapa minggu untuk bersedia dan mara lebih jauh.

"Kalau kami kalah, mereka telah memberikan 100 peratus sepanjang tahun ini.

"Saya tidak boleh minta lebih daripada itu.

"Untuk malam ini, kami bermain bersama untuk kepuasan bersama," katanya.