"Durakovic datang untuk kebaikan Selangor."

Itu reaksi jurulatih Selangor ketika ini, Nazliazmi Nasir, yang tidak mahu bimbang dengan posisinya bersama skuad Gergasi Merah, sebaliknya melihat kehadiran semula bekas pengendali itu sebagai penyelamat keadaan.

Khabar angin bertiup kencang sejak dari saingan awal Piala Malaysia lagi bahawa Durakovic bakal kembali menerajui Selangor musim depan.

Sebaik langkah Selangor terhenti dalam saingan peringkat kumpulan, nama Durakovic terus dikaitkan dengan Selangor yang dilihat sebagai penyelamat Gergasi Merah, namun Nazliazmi menegaskan dia tidak berkecil hati.

Berdasarkan prestasi Selangor ketika ini, dia juga bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa Gergasi Merah memerlukan pengendali yang lebih berpengalaman untuk saingan musim depan.

"Saya menghormati apa sahaja keputusan pasukan. Jika saya berada dalam senarai kejurulatihan untuk musim depan, saya akan memberi kerjasama 100 peratus, tidak kira siapa ketua jurulatih.

"Sekiranya tiada, saya akan meninggalkan Selangor dengan perasaan bangga," ujar Nazliazmi.

Satu mesyuarat khas melibatkan barisan kejurulatihan Selangor akan diadakan minggu ini bagi merencana skuad Merah Kuning menjelang musim 2019.

Kedudukan Nazliazmi ketika ini masih lagi samar dan kontraknya bersama Selangor bakal berakhir pada November 2018.

"Mengenai masa depan saya bersama Selangor, saya serahkan kepada pihak pengurusan. Buat masa ini, saya harus hormat kontrak yang akan berakhir pada November.

"Akan ada sesi perjumpaan antara barisan kejurulatihan dan daripada situ, kedudukan setiap individu, termasuk saya, akan diketahui."