Kelibat Nasrullah Hanif Johan dan Lee Tuck bakal mencuri tumpuan apabila kedua-duanya kembali ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi tetapi dengan misi membenam pasukan lama mereka, Negeri Sembilan, untuk aksi Kumpulan A, Piala Malaysia, malam ini.

Terengganu meraih kemenangan 3-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dengan pemain import, Tchetche Kipre, mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak tiga gol bagi memastikan pasukannya menghuni tangga teratas dengan sembilan mata.

Selesa mendahului saingan Kumpulan A, anak buah Nafuzi Zain itu sudah pasti terarah untuk menguji beberapa strategi dan taktikal yang melibatkan dua bekas pemain Negeri Sembilan, Tuck dan Nasrullah.

Biarpun berdepan bekas majikannya, Nasrullah terpaksa melupakan seketika pertaliannya dengan barisan pemain Negeri Sembilan bagi memastikan slot ke suku akhir Piala Malaysia buat Terengganu.

"Terengganu memerlukan tiga mata untuk memastikan tempat kami ke suku akhir, namun harus berwaspada dengan ancaman Negeri Sembilan dalam perlawanan ini," katanya.

Hanya dibolosi dua kali sepanjang saingan Piala Malaysia, pemain berusia 29 tahun itu, yang dijangka akan sekali lagi turun bergandingan dengan pemain import Terengganu II, Serhii Andrieiev, mahu memastikan rekod cemerlang barisan pertahanan pasukannya berterusan dalam perlawanan malam ini.

"Semestinya tuan rumah akan berusaha untuk memberikan tekanan sebaik perlawanan bermula dan kami akan cuba memastikan tiada jaringan berjaya dibolosi," tambahnya.