Nafuzi: Terengganu sedia berdepan JDT

Oleh Staff Writer 18 September 2019
Nafuzi: Terengganu sedia berdepan JDT
Belum sempat menarik nafas lega lolos ke suku akhir Piala Malaysia, Terengganu sekali lagi bakal berdepan ranjau bertemu juara 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Anak buah Nafuzi Zain itu terpaksa menanti perlawanan terakhir dalam Kumpulan A sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Namun, kemaraan itu dibayar dengan harga mahal -- berdepan JDT yang hadir dengan rekod tanpa kalah untuk bergelar juara Kumpulan B.

Di atas kertas, Nafuzi mengakui di sebalik prestasi turun naik skuad Peteh, mereka mempunyai rekod baik menentang gergasi dari Selatan itu, khususnya perlawanan terakhir Liga Super di Larkin yang berkesudahan 3-3.

"Kami harus mengakui JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia. Terengganu akan hadir sebagai pasukan bukan pilihan dan kami akan berusaha untuk mengulangi pencapaian tahun lalu," kata Nafuzi.

Di kem PKNS, Datuk K. Rajagobal, buntu dengan permasalahan dihadapi barisan pemainnya yang mempamerkan penurunan prestasi yang drastik.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman itu menafikan ia berkaitan dengan khabar angin membabitkan kelab tersebut akan dirombak menjadi pasukan sokongan kepada Selangor untuk musim depan.

"Ia hanyalah khabar angin. Saya tidak berasakan ia merupakan gangguan pemain untuk beraksi cemerlang."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen