Pandangan daripada bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, tetap diperlukan Nafuzi Zain dalam mencatur strategi terbaik untuk memerangkap Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali Terengganu FC (TFC) berkenaan tidak berselindung bahawa dia masih setia mendapatkan khidmat nasihat bekas mentornya itu, meskipun Irfan Bakti sudah empat bulan meninggalkan pasukan.

Baginya, TFC perlu menyelesaikan tugas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu dengan kelebihan jaringan bagi memudahkan perjalanan mereka apabila bertandang ke Larkin, minggu depan.

"Memang jurulatih Irfan adalah tempat (rujukan) saya.

"Dia macam tok guru saya.

"Saya meminta pandangan dan pendapatnya.

"Memang saya tidak pernah melupakannya sebab kedudukan saya sekarang ini juga merupakan peluang yang diberikan olehnya," katanya.

Nafuzi juga memberi bayangan akan mengubah strategi bagi mengelakkan gaya permainan yang mudah dibaca JDT.

Pasukan itu akan turun tanpa dua tonggak di bahagian tengah, iaitu Ahmad Syamim Yahya dan Sharin Sapien, yang masih belum cergas sepenuhnya.

"Rekod sebelum ini adalah perkara yang sudah lepas dan malam ini adalah perlawanan yang berbeza.

"Perlawanan kalah mati berbeza dengan liga.

"Cuma saya ada rahsia yang dirancang (saya) dengan jurulatih Irfan.

"Mungkin malam ini akan terjadi sesuatu seperti tahun lalu," tambahnya.