Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan, namun tidak menganggap kelebihan satu jaringan milik Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai kesukaran untuk pasukannya melakar kebangkitan dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Larkin malam esok.

Skuad Penyu itu tewas 0-1 di Kuala Terengganu dalam aksi pertama minggu lalu.

Namun, skuad kendalian Nafuzi itu bersedia untuk melunaskan misi mustahil, iaitu menumbangkan juara Liga Super itu di gelanggang keramat mereka, Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

"Tekanan memang ada, jadi kami perlu melupakan tekanan itu.

"Apa yang penting, kami perlu fokus dan kekal dengan matlamat kami untuk ke separuh akhir dengan memenangi perlawanan di sini.

"Dalam masa yang sama, kami tidak boleh bolos dalam perlawanan esok," katanya.