Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, masih belum mengibarkan bendera putih biarpun pasukannya perlu menang dengan sekurang-kurangnya 2-0 di Larkin dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu depan.

TFC tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pertama di Kuala Terengganu semalam hasil jaringan tunggal Diogo Santo.

Biarpun hanya mencetakkan satu gol, ia tetap memberikan kelebihan buat JDT sebagai kelebihan jaringan di laman lawan.

Nafuzi menjelaskan anak buahnya sudah mempamerkan corak permainan seperti yang dimahukannya, namun beberapa insiden kekasaran memberikan kesan terhadap psikologi dan rentak permainan mereka.

"Kelancaran permainan terganggu kerana terlalu banyak dihentikan.

"Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana dalam perlawanan, macam-macam boleh terjadi.

"Apa yang anda semua tengok, macam itulah keadaannya," katanya.

Sementara itu, kelegaan jelas terpancar buat ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Pasukannya bukan sahaja membawa kelebihan gol dari laman lawan, bahkan ia menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan berdasarkan rekod pertemuan terdahulu.

"Kami sudah mula memikirkan tentang perlawanan kedua kerana ia masih belum berakhir.

"Kami sedar bahawa kami tidak boleh memberikan sebarang ruang buat Terengganu untuk bergerak bebas.

"Jadi, kami akan teruskan latihan dan mencuba untuk mengulangi prestasi baik seperti hari ini," katanya.