Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, tidak lagi berselindung mengenai misi pasukannya dalam Piala Malaysia apabila mengakui mendambakan kejuaraan sebaik mengesahkan tempat di peringkat separuh akhir musim ini.

JDT menewaskan Melaka dengan agregat 5-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Larkin, malam tadi.

Mengulangi pencapaian tiga tahun lalu apabila turut beraksi di pentas final, JDT tampak serius dalam pemburuan mahkota kejuaraan musim ini berbanding dua edisi terakhir.

Pada 2016, JDT gagal melepasi halangan peringkat kumpulan dan tahun sebelumnya menyaksikan mereka terkandas di peringkat suku akhir.

"Tumpuan saya adalah perlawanan demi perlawanan walaupun kami semakin hampir ke aksi akhir. Memang besar harapan kami untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini," kata Morais.

Begitupun, kemaraan JDT ke separuh akhir tercalar dengan keputusan seri buat kali pertama di laman sendiri sejak Februari lalu.

JDT mendahului hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-21, namun Melaka bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Filipe de Souza seminit sebelum rehat.

"Hari ini, kami meraih keputusan seri selepas menang ke atas Perak. Saya rasa mentaliti pemain berada di tahap baik, pemain memahami apa yang saya mahukan," kata jurulatih Melaka, Eduardo Almeida.