Jurulath Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, tidak mengambil mudah kemampuan Terengganu, sebaliknya mengakui anak buahnya bakal berhadapan cabaran sukar dalam aksi suku akhir Piala Malaysia.

Mungkin serik dengan kekalahan kepada Terengganu dalam aksi sebelum ini, Mora mengakui dia bersama barisan pemainnya perlu berwaspada menghadapi perlawanan suku akhir nanti.

Sebarang kesilapan mungkin akan mengundang padah selain tidak rela langkah JDT terhenti mudah di tangan anak buah Nafuzi Zain itu.

Mora menyifatkan Terengganu sebagai pasukan yang cepat mengambil kesempatan ke atas sebarang kesilapan kecil, sekali gus mampu membuatkan JDT menggigit jari.

"JDT akan cuba bermain dengan cara kami dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah ketika di Terengganu dan beraksi cemerlang untuk perlawanan di Larkin nanti," kata Mora.

Sementara itu, jurulatih UiTM, Ismail Zakaria, berlapang dada dengan langkah akhir anak buahnya dalam saingan Piala Malaysia.

Mengharapkan desas-desus kemasukan UiTM ke dalam saingan Liga Super musim depan, Ismail lebih mengutamakan persediaan pasukan sebelum menerima sebarang keputusan yang dijangka akan diketahui Jumaat ini.

"Ia adalah harapan buat UiTM untuk tampil beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan. Namun, dana yang besar amat diperlukan untuk mengharungi cabaran yang lebih kompetitif itu," katanya.