Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, mahu pertemuan menentang Kedah dalam aksi final Piala Malaysia malam ini diselesaikan dalam tempoh 90 minit walaupun berdepan ranjau untuk melunaskan misi merangkul kejuaraan musim ini.

Di atas kertas, JDT dianggap pilihan dengan rekod cemerlang dalam Liga Super selain memiliki barisan pemain yang serba lengkap, membuatkan mereka tampak sukar dicabar pasukan lain, termasuk Kedah.

Namun, Mora tetap berwaspada dengan ancaman Lang Merah itu sambil berharap pertemuan kedua-dua pasukan malam ini tidak berlanjutan ke masa tambahan atau sepakan penalti.

"Sudah tentu saya mahu selesaikan perlawanan dalam 90 minit. Ia mengurangkan tekanan. Apa yang saya mahu adalah pemain jalankan tugas dan mengikut perancangan yang telah dilakukan," katanya.

Sementara itu, pemain Kedah, Amirul Hisyam Awang Kechik, sedia dipertaruhkan untuk menjadi "bidan terjun" sekali lagi bagi mengisi posisi pertahanan tengah Lang Merah susulan kehilangan tonggak import, Renan Alves.

Sama seperti final Piala FA, Julai lalu, Alves sekali lagi tidak dapat beraksi di pentas akhir ekoran penggantungan.

Namun, Amirul Hisyam tenang menyahut cabaran sekiranya dia sekali lagi menjadi pilihan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, sekali gus mengulangi persembahan sama ketika menewaskan Perak dalam final Piala FA.

"Di pentas final ini saya akan beri yang terbaik berbekalkan pengalaman yang saya ada," katanya.

Bagi penjaga gol utama skuad Lang Merah itu, Ifwat Akmal Chek Kassim, tiada apa yang mustahil di pentas final dan JDT masih boleh ditundukkan biarpun ramai yang meramalkan skuad Harimau Selatan itu bakal mengungguli perlawanan malam ini.

"Tidak mustahil untuk kami tundukkan JDT tetapi kami harus bekerja keras. Kami tidak boleh terlalu hormat dengan mereka," ujarnya.