Hajat Pulau Pinang untuk melakukan keajaiban mara ke suku akhir Piala Malaysia tidak kesampaian setelah tewas 0-2 kepada Pahang dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Skuad Harimau Kumbang itu berdepan tugas mencabar apabila perlu menang besar ke atas pelawat sambil mengharapkan Perak tewas kepada Sabah untuk peluang mara ke suku akhir.

Biarpun ia dilihat misi mustahil, anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid itu tetap bermotivasi tinggi untuk melakukannya di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Peluang tuan rumah untuk berada di depan hadir pada minit ke-50, namun disia-siakan Anselmo Arruda da Silva (Casagrande) tatkala pintu gol sudah pun terbentang luas.

Selang seminit, skuad Tok Gajah pula berjaya merobek gawang mereka apabila pertahanan, Herold Goulon, bijak memperdayakan benteng lawan sebelum menewaskan penjaga goll, Zamir Selamat.

Belum sempat tuan rumah bangkit, Pahang menggandakan kelebihan susulan hantaran Wan Zaharulnizam Wan Zakaria ditampan masuk Segar Arumugam ke gawang sendiri pada minit ke-57.

Gol itu sekali gus melenyapkan api perjuangan wakil Utara itu.

"Kami tidak bernasib baik. Kami mencipta banyak peluang tetapi tidak berjaya menjaringkan gol.

"Kami dihukum oleh pasukan Pahang yang cukup pengalaman," kata Manzoor.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh, pula enggan mendabik dada dengan berkata: "Tiada apa yang dibanggakan dengan kemenangan ini (memandangkan) kami sudah pun layak.

"Saya cuma mahu pemain mendapatkan semula momentum corak permainan sebenar."

Sehubungan itu, juara empat kali itu akan berkunjung ke Melaka dalam pertemuan pertama suku akhir, manakala Perak, yang turut layak setelah mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sabah, akan berhitung dengan Selangor, Ahad ini.