PKNP berdepan tugas berat tetapi bukan mustahil.

Pemain digesa mencabar diri dalam pertemuan dengan gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), untuk perlawanan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyedari skuad bimbingannya bukan tandingan Harimau Selatan itu kerana perbezaan di antara mereka bagaikan langit dengan bumi.

Justeru, beliau berharap anak buahnya mempamerkan semangat juang kental serta tidak gentar dengan reputasi lawan.

"Saya akui kami bukan lawan mereka. JDT serba lengkap manakala kami pasukan kerdil.

"Begitupun, ia tidak bererti kami akan menyerah mudah tanpa melawan," katanya.

Hakikat pemainnya pernah menyekat JDT 1-1 dalam pertembungan Liga Super lalu memberi sedikit harapan buat PKNP untuk cuba mengulanginya.

Jurulatih itu berkata semangat anak buahnya kembali bersemarak selepas merakam kejayaan 2-0 ke atas UiTM FC dalam perlawanan kedua mereka, minggu lalu.

"Kemenangan itu sedikit-sebanyak mengembalikan keyakinan diri pemain.

"Kami akan cuba usahakan pencapaian terbaik. Bukan mudah tetapi kami akan berusaha," katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut persembahan terbaik daripada setiap pemain dalam usaha melakar satu lagi kejutan.

Dalam perlawanan itu nanti, Abu Bakar tidak akan dapat menggunakan khidmat dua pemain, Shukri Hamid, dan pemain import, Ramon Da Silva Costa.

Musim bola sepak Shukri berakhir lebih awal gara-gara mengalami kecederaan lutut teruk manakala kontrak Costa ditamatkan lebih awal kerana mengalami masalah.

"Saya yakin kami boleh berjaya biarpun tidak dapat menurunkan beberapa pemain, " ujarnya.