Jurulatih Selangor B. Sathianathan, mahu barisan pemainnya turun berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kekuatan mental yang jitu agar tidak berputih mata dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Larkin malam ini.

Enggan berbicara mengenai faktor luaran yang mungkin meragut peluang meraih keputusan positif, bekas jurulatih negara itu percaya hanya keyakinan tinggi mampu memastikan mereka pulang dengan senyuman.

"Inilah peluang pemain-pemain Selangor membuktikan kemampuan mereka. Kekuatan mental pemain akan diuji dan saya berharap mereka akan menonjol dan menampilkan persembahan yang terbaik," katanya.

Jurulatih berusia 61 tahun itu dijangka melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya apabila mereka kembali diperkuatkan perancang tengah, Sandro Da Silva yang sebelum ini terpaksa direhatkan ekoran kecederaan.