Felda United bersedih dalam persiapan menerima kunjungan Terengganu yang diangkat sebagai pilihan bagi pertemuan suku akhir Piala Malaysia di antara mereka.

Ini berikutan The Fighters diaibkan Melaka United 6-1 dalam aksi penutup peringkat kumpulan.

Susulan itu, keputusan berat berkenaan masih menganggu juara Liga Perdana tersebut dengan jurulatihnya, B. Sathianathan, memberitahu: "Kami dapat belajar sesuatu.

"Sudah lama kami tidak berasa sedih seperti itu kerana keputusan yang buruk.

"Kalah itu adat permainan tetapi apabila dibelasah 6-1, kami perlu terima hakikat bahawa ada sesetengah pemain belum bersedia untuk bermain di peringkat ini.

"Kalau turun di padang, mereka seharusnya bersedia 100 peratus dan tidak boleh bersikap sambil lewa.

"Saya percaya barisan pemain Felda akan bermain dengan lebih hebat apabila bertemu Terengganu yang merupakan wakil Liga Super dan memiliki ramai pemain bintang."

Ini tidak mengambil kira kecederaan pemain tonggak, terutama ayam tambatan mereka, Thiago Augusto Fernandes.

"Saya harap masalah kecederaan dan hal berkaitan peribadi dapat diatasi dan dalam masa terdekat ini, kami cuba menaikkan semangat pasukan untuk memberikan satu persembahan yang baik.

"Kami perlu menghormati Terengganu tetapi tidak harus takut dengan mereka," katanya.