Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu bersikap ‘lepas tangan’ selepas masih meneruskan saingan Piala Malaysia walaupun negara ketika ini sedang dilanda masalah jerebu.

MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden berkaitan jerebu yang boleh menjejaskan reputasi pertandingan bola sepak tertua di tanah air itu.

“Antara langkah itu adalah ‘cooling break’ ketika perlawanan berlangsung di mana pemain akan diberikan rehat dalam tempoh selama tiga minit pada minit ke-35 dan ke-70.

"MFL juga sedang merancang untuk mendapatkan alat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) bagi membolehkan bacaan IPU dibuat terus di venue itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, MFL turut memaklumkan berdasarkan peraturan sedia ada, setiap pasukan yang bertanding dalam mana-mana kejohanan di bawah kelolaan MFL, termasuk Piala Malaysia, diwajibkan untuk menyediakan khidmat seorang doktor yang bukan sahaja bertindak memberikan rawatan kepada pemain tetapi turut memberikan nasihat mengenai jerebu yang melanda setiap venue terlibat.

Badan itu turut menegaskan mereka akan menangguhkan mana-mana perlawanan sekiranya keadaan jerebu di venue berkenaan boleh mengancam kesihatan pegawai, pemain pasukan terlibat, petugas stadium mahupun penonton yang menyaksikan perlawanan.

Pentadbir Liga-M itu pada masa sama turut menasihatkan penyokong yang hadir ke mana-mana stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan meminum air kosong.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 33 kawasan di seluruh negara masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 6 petang hari ini.

Antaranya di Johan Setia, Klang yang mencatatkan bacaan 188, Nilai (174) di Negeri Sembilan, dan Putrajaya (152).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA