Manzoor mahu Pulau Pinang mara ke suku akhir

Oleh Staff Writer 17 September 2019 13
Manzoor mahu Pulau Pinang mara ke suku akhir
Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, berharap anak buahnya mampu menghadirkan keajaiban untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila bertemu Pahang dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Bandaraya, esok.

Menghuni tangga ketiga dengan mengutip lima mata, Pulau Pinang memerlukan kemenangan jika mahu ke suku akhir sementara meraih ihsan daripada Sabah untuk mengatasi Perak.

Pulau Pinang sebelum ini telah menghadirkan kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke Liga Super dalam aksi terakhir Liga Perdana musim ini sebelum mereka dihukum pemotongan enam mata dan Manzoor berharap usaha yang ditampilkan skuad kendaliannya itu mampu diterjemahkan sekali lagi ketika bertemu Pahang.

"Saya berharap pemain-pemain menampilkan permainan terbaik. Perlawanan ini mengingatkan kepada peluang Pulau Pinang untuk melayakkan diri ke Liga Super sebelum dipotong enam mata," katanya. 

"Kami mengharapkan pemain-pemain cuba yang terbaik sementara Sabah meraih kemenangan ke atas Perak."

Pulau Pinang, bagaimanapun, dihimpit masalah kecederaan apabila Julian Bottaro tidak dapat diturunkan, namun pengendali berusia 43 tahun itu tidak menganggap ia halangan untuk skuad Harimau Kumbang itu tampil cemerlang di laman sendiri.

"Pasukan turut menghadapi masalah kecederaan pemain dan ia menjejaskan kelancaran ketika beraksi nanti, namun ia bukan penghalang buat kami mencipta kemenangan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen