Pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak menafikan kekalahan besar 0-5 kepada Perak dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, 7 Oktober lalu, masih meninggalkan kesan kepada anak didiknya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar pemain mengatasi situasi berkenaan dengan segera dan fokus untuk perlawanan kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Ahad ini.

"Kekalahan itu memang sukar dilupakan tetapi saya berkata kepada pemain bahawa mereka masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya masih percaya dengan ungkapan bola itu bulat dan dalam bola sepak, apapun boleh berlaku. Pasukan gergasi seperti Brazil pun boleh kalah 7-1 di gelanggang sendiri, begitu juga dengan kelab-kelab besar yang pernah mengalami nasib serupa tetapi bangkit semula selepas itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas pemain berusia 47 tahun itu berkata beliau bukannya mahu memberi alasan dengan memberi contoh situasi pasukan serta kelab dari luar negara tetapi ingin pemainnya mengambil semangat seperti itu untuk menghadapi Perak nanti.

"Alang-alang kami sudah sampai ke tahap ini (separuh akhir Piala Malaysia), saya mahu pemain menamatkannya dengan satu prestasi baik kerana kami masih ada 90 minit walaupun ketinggalan lima gol.

"Sekarang ini terpulang kepada pemain untuk membuktikannya. Kalau pun kami tidak dapat pergi lebih jauh (final), sekurang-kurangnya pemain mempamekan aksi terbaik mereka, lebih-lebih di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Tambah Jelius, mereka kini menjalani latihan seperti biasa selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan, Tawau, yang juga juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018, Sabtu lalu.

Perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau itu menyaksikan Sabah menang besar 9-0.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu bakal berdepan misi sukar bertemu Perak di gelanggang sendiri nanti apabila perlu mendapat sekurang-kurangnya lima gol selain harus mengelak daripada dibolosi.