Dua gol awal dalam tempoh 10 minit menyelamatkan reputasi finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu, untuk terus menyalakan kempen bagi merebut tiket terakhir Kumpulan A.

Sang Penyu mempunyai kelebihan berbanding Negeri Sembilan untuk merebut slot ke suku akhir Piala Malaysia memandangkan mereka hanya perlu seri sementara PKNS FC pula sudah pun terkeluar daripada persaingan.

Namun, anak buah Nafuzi Zain itu garang untuk memastikan reputasi mereka sebagai finalis tahun lalu apabila mula meledak seawal minit keempat menerusi rembatan pemain tengah, Sanjar Shaakmedov, dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Belum sempat Semut Merah menyusun strategi, Tchetche Kipre sekali lagi menghukum pertahanan tuan rumah dengan rembatan kencang pada minit kesembilan untuk meletakkan skuad Peteh mendahului 2-0.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu terus longlai apabila membiarkan Terengganu melancarkan asakan bertubi-tubi, namun gol ketiga masih tidak kunjung tiba.

"Seperti yang saya pernah katakan, kami berdepan sebuah pasukan yang tidak rugi apa-apa dan ia agak sukar.

"Kami membuktikan kekuatan mentaliti berikutan melepaskan dua gol dalam dua perlawanan yang lalu tetapi kali ini kami melakukan yang sebaliknya," kata penggempur kelahiran Ivory Coast berumur 32 tahun itu.

Ketua jurulatih kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu, Rajagobal, pula menjelaskan: "Hari ini kami ada menunjukkan peningkatan tetapi kemungkinan juga (ia berpunca daripada) saya tidak menurunkan barisan utama.

"Kami menunjukkan sedikit peningkatan tetapi dua gol awal dalam tempoh 10 minit pertama membunuh perlawanan ini."

Sementara itu, Kedah yang merekodkan kemenangan 4-2 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Darulaman, mengesahkan kemaraan selaku juara kumpulan dengan 13 mata, dibezakan satu mata dengan wakil Pantai Timur itu.