Pemain sayap Selangor, Khyril Muhymeen Zambri, bertekad untuk sekali lagi merobek gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.

Jaringan yang pernah dilakukannya di Stadium Larkin dalam aksi Liga Super, Jun lalu menjadi motivasi terbaik buatnya mengulangi pencapaian berkenaan.

Bekas pemain sayap kebangsaan itu meledak gol menarik menerusi satu sepakan percuma menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias, pada minit ke-41.

Meskipun Gergasi Merah Kuning tewas 3-2 dalam perlawanan itu, dia tetap menganggap ia pemangkin semangat apabila kembali ke gelanggang keramat lawan itu malam ini.

"Kami perlu mencari gol di tempat lawan dalam saingan separuh akhir malam ini. Saya pernah menjaringkan gol di Larkin sebelum ini dan ia adalah motivasi buat saya untuk sekali lagi melakukannya malam ini," katanya.

Anak jati Kedah berusia 32 tahun itu, bagaimanapun, berdepan tugas sukar apabila sekali lagi terpaksa menghadapi pertahanan kental skuad Harimau Selatan, Corbin Ong.

Mengakui sukar mengatasi keampuhan pertahanan negara itu, Khyril Muhymeen tetap optimis terhadap keupayaannya untuk melakukan sesuatu demi The Red Giants.

"Corbin seorang pertahanan yang berkualiti dan ketika beraksi untuk skuad negara, dia mampu menghadapi pemain Vietnam yang pantas. Saya akan cuba memberikan tentangan sebaik mungkin ketika berhadapannya."