KELANTAN 2 KEDAH 0

Kelantan mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mencipta kejutan mengalahkan Kedah 2-0 dalam aksi terakhir saingan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


The Red Warriors (TRW) membuat kejutan dengan meletakkan penyerang import kelahiran Brazil, Cristiano Santos, di bangku simpanan, sebaliknya memberi kepercayaan kepada Mohamad Khairul Rizam Che Soh untuk merobek gawang Lang Merah.

Skuad Hijau Kuning pula turun ke Kota Bharu dengan moral yang hebat selepas mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), 3-1 di Alor Setar.

Penyerang muda TRW, Syafiq Shaharudin, melepaskan peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan di depan apabila tandukannya tersasar pada minit ke-10.

Berselang seminit, Kedah membalas melalui rembatan kencang pemain tengah, Abdul Halim Saari, tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Percubaan terakhir Kedah hadir pada minit ke-45 melalui sepakan percuma yang diambil kapten, Baddrol Bakhtiar, namun ditepis keluar penjaga gol, Mohamad Faridzuean.

Muhammad Danial Ashraf Abdullah kemudian menggembirakan penyokong setia Kelantan apabila menolak masuk hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid, pada minit ke-51.

Pada minit ke-59, penyerang sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, hampir menjaringkan gol penyamaan, namun sepakan lencongnya tersasar.

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, membuat dua pertukaran dengan membawa masuk penyerang import, Santos dan Nik Azli Nik Alias.

Penjaga gol TRW, Faridzuean, muncul wira apabila melakukan dua tindakan menyelamat hebat dengan menghalang sepakan padu Akhyar dan menangkap tandukan kencang Liridon Krasniqi.

Nik Akif Syahiran muncul wira tuan rumah untuk membawa Kelantan layak ke suku akhir apabila menolak masuk gol kedua TRW dengan menewaskan Abdul Hadi pada minit ke-90.

Kemenangan ini membolehkan Kelantan mara ke suku akhir menerusi perkiraan bolos biarpun terikat lapan mata dengan MISC-MIFA dan Kedah.

Dengan itu, Pahang akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kelantan bertemu Sabah di peringkat seterusnya.

Keputusan lain:

MISC-MIFA 0 JDT 3

PKNP FC 1 SELANGOR 4