KEDAH 4 NEGERI SEMBILAN 2

Kedah muncul juara Kumpulan A selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.


Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu turut diundi bersama finalis Piala Malaysia edisi 2018, Terengganu, menuju ke perlawanan terakhir bagi merebut tangga teratas Kumpulan A.

Tiga jaringan menghiasi separuh masa pertama -- Farhan Roslan membuka jaringan pada minit ke-18 sebelum Igor Luiz menyamakan kedudukan untuk Negeri Sembilan (m-34) dan Fernando Rodriguez memastikan Lang Merah kembali di hadapan sebelum pengadil meniupkan wisel tamat separuh masa.

Jaringan Ferris Danial pada minit ke-66 kembali menghangatkan pertembungan di antara kedua-dua pasukan, namun Kedah menampilkan aksi yang lebih konsisten apabila berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Fayadh Zulkifli Amin (m-86) sebelum Edgar Bernhardt melengkapkan kemenangan Kedah menerusi sepakan penalti.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Shah Alam pula, skuad Peteh tidak kelihatan bergelut beraksi di laman lawan apabila mudah mengatasi anak buah K. Rajagobal itu.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu hanya memerlukan 10 minit pertama untuk mendahului dengan dua gol menerusi Sanjar Shaakhmedov (m-4) dan Tchetche Kipre (m-9).

Tiada jaringan tambahan hingga tamat perlawanan, namun kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang seimbang apabila saling melancarkan serangan.

Sementara itu, juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang sudah layak ke suku akhir lebih awal selaku juara Kumpulan B, melengkapkan saingan dengan kemenangan ke atas UiTM 2-1 di Stadium UiTM.

Penentuan tempat kedua Kumpulan B, bagaimanapun, terpaksa ditangguhkan apabila perlawanan di antara PJ City dan PKNP ditunda ke Jumaat ini selepas beberapa pemain skuad kendalian K. Devan itu dijangkiti virus Influenza B.