Kedah berharap dapat meneruskan rentak kemenangan di peringkat separuh akhir Piala Malaysia susulan kejayaan menewaskan PKNP FC dengan agregat 6-2 dalam saingan suku akhir.

Bagaimanapun, pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, mahu anak buahnya meningkatkan prestasi masing-masing kerana lawan mereka di peringkat itu, Pahang, memiliki barisan pemain yang hebat dan akan memberikan cabaran berbeza berbanding lawan sebelum ini.

"Mulai hari ini, kami kena bekerja keras dan mempersiapkan pasukan pada tahap 100 peratus sebab kami tahu Pahang antara pasukan yang hebat, mempunyai pemain tempatan, import serta jurulatih yang baik.

"Ia adalah separuh akhir dan kami perlu dapatkan keputusan yang baik duhulu di tempat sendiri sebab bukan mudah bila bermain di tempat lawan.

"Insya-Allah saya rasa pemain akan bekerja keras untuk itu," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir kedua bertemu PKNP FC, di Alor Setar, semalam.

Aidil Sharin berkata dalam tempoh lebih dua minggu sebelum aksi separuh akhir pertama yang dijadualkan pada 18 Oktober ini, Kedah akan melakukan persiapan sebaik mungkin merangka strategi dan formula untuk menewaskan Pahang.

Mengulas mengenai perlawanan bertemu PKNP itu, beliau berkata pujian harus diberikan kepada semua pemain dan barisan jurulatih yang bekerja keras bagi memastikan pasukan memenangi perlawanan tersebut.

Walaupun keputusan memihak kepada pasukannya, namun ia bukan mudah dan hanya diperoleh hasil persembahan serta disiplin terbaik yang dipamerkan setiap pemain.

“Bukan senang bermain dengan PKNP yang dibarisi ramai pemain muda dan memberi tentangan serta menunjukkan kualiti permainan.

"Tapi apa yang paling penting kami dapat empat gol dan itu keputusan yang baik untuk penyokong yang datang beri sokongan dan membantu kemenangan pasukan. Kalau ada rezeki, kami akan ke final lagi,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berkata berdepan dengan Kedah yang menjuarai Piala FA baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasukan itu mempunyai barisan pemain terbaik yang sukar ditandingi anak buahnya.

“Bagi saya, ia pengalaman yang berguna untuk pemain kami yang majoritinya belum pernah bermain dalam suku akhir. Walaupun bertaraf kelab, kami antara pasukan lapan teratas dalam Liga Super dan memang bagi saya, ia satu pencapaian baik walaupun kami tidak konsisten dalam liga.

“Saya rasa kami perlu ada tonggak untuk bersaing kerana PKNP banyak pemain tempatan dan hanya bergantung kepada tiga pemain import dan kami perlu ambil kira juga untuk terus memberi saingan musim akan datang,” katanya.

-- BERNAMA