TERENGGANU FC 2 KEDAH 3

Kedah memintas naib juara 2018, Terengganu FC (TFC), di kedudukan teratas Kumpulan A selepas menang 3-2 ke atas lawannya itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Kemenangan itu sekali gus mengesahkan slot Kedah ke suku akhir dengan berbaki satu perlawanan kumpulan manakala TFC terpaksa menanti sehingga aksi terakhir.

Kedah mendapat permulaan idaman ketika aksi baru berusia empat minit.

Sepakan percuma Baddrol Bakhtiar ditanduk kemas Jonatan Bauman untuk mendiamkan kem tuan rumah.

Serangan silih berganti selepas itu bermula dengan tandukan bek tengah TFC, Nasrullah Haniff Johan (m-13), diikuti rembatan tinggi Baddrol pada minit ke-17 untuk memberi isyarat aksi yang kian rancak.

TFC kemudian mensia-siakan peluang terbaik menerusi situasi satu lawan satu Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-24 manakala tolakan Kipre Tchetche dikeluarkan Renan Alves di atas garisan gol.

Setengah jam permainan berlangsung, palang pula menafikan usaha TFC untuk mengikat kedudukan melalui percubaan lencong Nabil sebelum mereka dihadiahkan sepakan penalti.

Lee Tuck yang dijatuhkan Alves mengambil tugas dari jarak 12 ela itu dan pemain kelahiran Halifax, England itu, menghantar Ifwat Akmal Che Kassim ke arah berlawanan.

Dengan kedudukan menjadi 1-1, kem tuan rumah dibantu lebih 10,000 peminat kembali sepi selepas pemain Kedah, Edgar Bernhardt, menyudahkan hantaran Farhan Roslan pada minit ke-36.

Dua minit selepas rehat, kesilapan Shahrin Sapien hampir dihukum Baddrol yang masuk ke dalam kotak penalti, hanya untuk dinafikan penjaga gol, Wan Muhd Azraei Wan Teh.

Kemasukan Malik Mat Ariff membuahkan hasil buat TFC apabila bekas pemain Kuantan FA itu menyambar sepakan percuma Tuck untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-60.

Impak Ashari Samsudin dari bangku simpanan turut membantu tuan rumah, namun percubaan leretnya dalam kotak penalti pada minit ke-63 ditepis Ifwat.

Ketika kedua-dua pasukan hampir berpuas hati dengan seri, Baddrol (m-86) muncul wira Kedah selepas ledakannya dari dekat memadai untuk memberikan kemenangan pelawat.

Layangan kad merah kepada pertahanan kanan, Mohd Hafizal Alias, pada minit ke-90 pula sudah cukup untuk menceritakan kekecewaan TFC yang terlepas peluang ke menjamin slot ke suku akhir lebih awal.

Dalam satu lagi pertembungan Kumpulan A, PKNS FC gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri apabila tersungkur 1-3 kepada Negeri Sembilan.

Kekalahan di Stadium Shah Alam itu menghumban anak buah Datuk K. Rajagobal ke kedudukan tercorot kumpulan dan secara tidak langsung menutup peluang mereka untuk mara.

Sementara itu, perhitungan terakhir Kumpulan B, Selasa ini cukup getir buat PKNP FC dan PJ City FC untuk mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) ke suku akhir.

Sungguhpun sudah layak, Harimau Selatan menyekat hajat PJ City dengan kemenangan 3-2 sambil PKNP menyelamatkan musim mereka dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas UiTM FC di Manjung, Perak.

Bagaimanapun, PJ City kekal berkelebihan apabila hanya memerlukan seri untuk mengekalkan tempat di kedudukan kedua.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)