Kapten Melaka, R. Surendran, mahu menjadikan kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam Liga Super sebagai 'motivasi' terbaik untuk pasukannya sekali lagi menghadapi ujian getir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di stadium Larkin, malam ini.

Melaka mempunyai rekod buruk bertemu JDT pada musim ini apabila mengalami dua kekalahan besar daripada tiga perlawanan.

Mereka dibelasah 7-0 dalam Liga Super pada April lalu dan tumpas 4-1 ketika perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, 15 September lalu.

Begitupun, anak buah Eduardo Almeida bangkit daripada kemerosotan prestasi menerusi kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam aksi liga Rabu lalu untuk motivasi terbaik berdepan JDT, malam ini.

"Kami bukan pasukan belahan tetapi semasa perlawanan, kami hilang fokus. Ia menyebabkan pasukan lawan menjaringkan banyak gol.

"Selepas kalah kepada JDT 4-1, kami fokus dalam liga selepas itu, kami boleh menang sampai 3-1," katanya.

Surendran, yang menyarung lilitan kapten pasukan pada pertengahan musim ini, mengakui peluang pasukannya untuk menewaskan JDT di tempat lawan cukup sukar.

Namun, bekas pemain Pahang ini optimis Melaka mampu menghadirkan tentangan hebat dalam usaha meraih keputusan positif.

"Peristiwa kalah 7-0 tidak boleh dilupakan. Selepas itu, kami kembali fokus di laman sendiri dan boleh seri dengan JDT," tambahnya.