Sabah akhirnya 'memecahkan telur' apabila mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, di Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Kemenangan 2-0 terhadap Pulau Pinang itu juga sekurang-kurangnya menebus sedikit kekecewaan skuad Tambadau itu yang sebelum ini tewas empat perlawanan berturut-turut, tetapi belum cukup untuk mengeluarkan mereka daripada tangga tercorot Kumpulan C itu.

Kekalahan anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid itu juga dalam masa yang sama, menyaksikan juara bertahan, Perak, kembali bernyawa untuk menduduki tempat kedua setelah mengalahkan Pahang 3-1 dalam pertembungan di Stadium Perak, Ipoh, dalam aksi yang berlangsung serentak.

Dalam aksi tadi di Stadium Likas, separuh masa pertama menyaksikan perlawanan sedikit perlahan walaupun tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai bola.

Peluang pertama Sabah hadir menerusi Maxsius Musa pada minit ke-25, namun percubaannya selepas mengatasi dua pertahanan terus ke dakapan penjaga gol Pulau Pinang, Muhammad Zamir Selamat.

Pada minit ke-31, giliran skuad Harimau Kumbang pula mencemaskan pintu gol tuan rumah tetapi percubaan Mohamad Al Hafiz Harun, yang tidak dikawal di dalam kotak penalti, tinggi melepasi palang gol.

Skuad kendalian Jelius Ating itu sekali lagi memiliki peluang untuk berada di depan pada minit ke-38, tetapi rembatan Maxsius dari luar kotak penalti ditampan Zamir.

Dua minit kemudian, giliran penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, menyelamatkan keadaan apabila menepis keluar rembatan Julian Bottaro, juga dari luar kotak penalti dan kedudukan tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sabah terus garang sebaik permainan bersambung dalam usaha memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-48 menerusi percubaan jarak jauh Evan Wensley Wenceslaus tetapi Zamir terus menjadi penghalang.

Gol yang dicari-cari Sabah hadir pada minit ke-53 menerusi Maxsius yang menyudahkan hantaran Alto Linus bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pulau Pinang memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil selepas Rozaimie mengasari Al Hafiz.

Bagaimanapun, penyerang import mereka, Anselmo Arruda Da Silva, menyepak bola tinggi melewati palang gol.

Sebaliknya, Sabah menambah jaringan pada minit ke-82 menerusi gerakan menarik pemain gantian, Aguinaldo Mendes Veiga, yang melepasi tiga pertahanan sebelum melorongkan bola untuk disudahkan dengan baik oleh Rodoljub Paunovic sebelum pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin, meniupkan wisel penamat.

Sementara itu, saingan Kumpulan D kembali terbuka menjelang perlawanan terakhir, Rabu depan, susulan kemenangan Felda United ke atas PDRM FA hasil jaringan tunggal S. Chanturu pada minit ke-60 dengan aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, itu berakhir dengan seorang pemain daripada setiap pasukan dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Kedudukan itu turut dibantu dengan keputusan seri 1-1 Selangor dengan Melaka United di Stadium Shah Alam.