JDT 5 PKNP 0

Lima gol dihasilkan Johor Darul Ta'zim (JDT) tanpa satu pun percubaan PKNP FC menggambarkan penguasaan penuh tuan rumah dalam kemenangan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Kejayaan membelasah PKNP 5-0 dalam aksi keempat Kumpulan B, Piala Malaysia itu meletakkan Harimau Selatan semakin hampir untuk mara ke suku akhir sesudah diikat 2-2 oleh lawan yang sama, Jumaat lalu.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu memberi amaran sejurus wisel ditiupkan dengan mengatur gerakan berbahaya di depan kubu pelawat.

Selepas rentetan tiga sepakan penjuru, JDT akhirnya memecah kebuntuan melalui tandukan kencang Mauricio untuk menggegar gawang yang dikawal Shafiq Afifi Suhaimi pada minit ke-14.

Selepas beberapa ketika berjaya mengekang asakan JDT, pintu gol skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu bergegar buat kali kedua apabila Diogo Luis Santo bijak membuat hantaran tumit sebelum disambar Gonzalo Cabrera pada minit ke-32.

Ini disusuli giliran Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti, gol ketiganya dalam kempen Piala Malaysia.

Penalti sekali lagi memihak kepada JDT untuk Diogo melebarkan kedudukan kepada 4-0, 10 minit selepas keluar dari bilik persalinan.

Juara 2017 berkenaan terus garang dengan Safawi melengkapkan kemenangan bergaya itu pada minit ke-61 apabila melakukan larian deras untuk menyambut hantaran lolos Diogo sebelum digantikan oleh Akhyar Rashid.

Biarpun selesa mendahului, JDT tidak memberi sebarang peluang buat PKNP mendapatkan gol sagu hati.

Skuad Harimau Selatan itu kini di puncak kumpulan dengan mengumpul 10 mata sementara pencabar terdekat, Petaling Jaya City, (enam mata) akan beraksi menentang UiTM FC, Ahad ini.

PKNP pula yang mempunyai empat mata, masih berpeluang tipis dengan baki dua perlawanan manakala UiTM berdepan misi hidup dan mati dalam aksi seterusnya.

Keputusan lain:

Kumpulan A
NEGERI SEMBILAN 3 TERENGGANU 2