JDT tabik semangat melawan PJ City 

Oleh Staff Writer 14 September 2019 158
JDT tabik semangat melawan PJ City 
Ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K. Devan, mengakui rentak permainan mereka terjejas sehingga gagal memperoleh tiga mata apabila tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. 

Kini mereka terpaksa menunggu hingga ke perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia menentang PKNP FC, Selasa depan, selepas lawan itu terus mengekalkan persaingan merebut slot kalah mati susulan kejayaan membenam UiTM FC 4-0.

Aksi awal perlawanan menyaksikan tuan rumah cukup agresif apabila meledak gol pendahuluan melalui pemain tengah import, Bae Beom-geun, pada minit ke-10.

Bagaimanapun, selepas itu, rentak permainan mereka seperti terganggu gara-gara beberapa keputusan pengadil yang menyaksikan Harimau Selatan bangkit untuk menguasai permainan.

JDT meledak dua gol menerusi Safawi Rasid pada minit ke-24 sebelum Syafiq Ahmad meletakkan anak buah Benjamin Mora itu di depan pada minit ke-36.

Walaupun PJ City berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Washington Brandao, namun gol tandukan berbisa Syafiq melengkapkan kemenangan JDT. 

"Selepas mendahului perlawanan dalam babak pertama, rentak permainan kami agak terganggu sehingga kami terpaksa ikut rentak permainan sedia ada. 

"Tetapi saya tidak mahu ulas mengenai pengadil perlawanan," kata Devan. 

Jurulatih kelahiran Mexico, Mora, pula berkata: "(Prestasi) PJ City semakin berkembang dan sangat baik (malam tadi).

"Mereka mempunyai beberapa pemain yang bagus dan memberi kesulitan kepada corak permainan kami."

Kemenangan itu secara tidak langsung mengesahkan slot JDT ke suku akhir selaku juara kumpulan. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen