JDT nafi kebangkitan PJ City 

Oleh Staff Writer 7 Ogos 2019 3544
JDT nafi kebangkitan PJ City 
JDT 4 PJ CITY 2 

Kemenangan 4-2 Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mencerminkan Petaling Jaya (PJ) City FC memberi laluan selesa terhadap lawan mereka itu dalam pertembungan Piala Malaysia di Stadium Larkin, sebentar tadi. 


Skuad kendalian K. Devan itu mempamerkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan selepas dikerah untuk mengekang jentera serangan tuan rumah. 

Harimau Selatan, yang dirangsang dengan semangat untuk bangkit selepas rekod kebal liga di tempat sendiri dicalarkan lawan, cuba menembusi benteng pelawat. 

Jaringan seawal minit ketujuh oleh Safawi Rasid memberikan kelegaan awal buat JDT tetapi belum cukup untuk memancing PJ City keluar dari kawasan sendiri bagi mencari gol penyamaan. 

Namun, senario berbeza dipamerkan dalam babak kedua. 

Sekali lagi, juara edisi 2017 itu menemui jaringan awal menerusi jaringan Diogo Luis Santo akibat kealpaan benteng lawan tatkala permainan baru bersambung dua minit. 

Kedudukan 2-0 itu pantas mengubah senario permainan sehingga memaksa PJ City untuk lebih memanfaatkan serangan balas. 

Washington Brandao Dos Santos memintas tandukan ke belakang Aidil Zafuan Abd Radzak sebelum menolak masuk bola ke pintu gol yang sudah ternganga pada minit ke-59.

10 minit kemudian, akibat hantaran lemah di bahagian tengah JDT, Dos Santos menjadi arkitek apabila membuat umpanan kepada Barathkumar Ramaloo untuk mengikat kedudukan 2-2, tetapi ia hanya bertahan dua minit selepas Diogo kembali meletakkan JDT di depan. 

Namun, sentuhan klinikal Gonzalo Cabrera menjadikan kedudukan 4-2 , sekali gus menjadikan enam mata sempurna buat JDT dalam Kumpulan B setakat ini.

Keputusan lain:

NEGERI SEMBILAN 1 PKNS FC 2

PDRM 4 FELDA UNITED 3

PULAU PINANG 2 SABAH 1







 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen