Persembahan Johor Darul Ta'zim (JDT) menurun selepas menjaringkan gol kedua ketika menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Begitu kata ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, selepas anak buahnya seri 2-2 dengan PKNP FC dalam saingan pusingan awal Kumpulan C, Piala Malaysia itu.

Menurut jurulatih itu, JDT bermula cemerlang hingga berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh 13 minit perlawanan.

"Kami bermula baik dan menguasai permainan tetapi selepas nendahului dua gol, persembahan kami menjunam sehingga membolehkan PKNP FC menekan dan merapatkan jurang melalui penalti.

"Kami pulih pada awal babak kedua tetapi sekali lagi hilang pegangan terhadap perlawanan," katanya.

Bora mengakui kehebatan PKNP FC yang mempunyai semangat juang kental dan tidak mudah berputus asa.

"Saya kena 'angkat topi' kepada PKNP FC. Mereka sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai semangat juang kental.

"Bagi saya, kami juga mempunyai banyak kelemahan dan perlu segera diatasi bagi menghadapi baki perlawanan.

"Bagaimanapun, saya berpuas puas hati kerana kami membawa balik satu mata daripada perlawanan ini," katanya.