Pemain tengah, Safuwan Baharudin, menyifatkan gol penyamaannya pada minit terakhir permainan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai tonik terbaik buat Pahang bahawa mereka masih mampu merintis laluan ke separuh akhir Piala Malaysia.

Safuwan muncul watak penting Tok Gajah ketika kemenangan sudah hampir menjadi milik JDT dengan gol berharga dua minit dalam masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Walaupun mengakui ia belum cukup untuk menafikan kelebihan JDT, pemain kebangsaan Singapura itu menjelaskan gol terbabit sekurang-kurangnya mampu mengurangkan tekanan buat Pahang ketika bertandang ke Larkin.

"Gol itu dapat memberikan semangat untuk Pahang menghadapi JDT di Larkin. Musim ini, rekod aksi di tempat lawan Pahang amat baik dan berharap ia diteruskan untuk perlawanan akan datang," kata Safuwan.

Buat JDT, ia satu pengajaran berguna kepada pemain supaya kekal fokus sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Namun, pengurus JDT, Luciano Figueroa, mahu pemain-pemainnya segera melupakan keputusan itu kerana misi lebih penting ialah aksi suku akhir kedua di laman sendiri.

"Kami perlu memberikan tumpuan hingga tamat perlawanan. Pahang berjaya menyamakan kedudukan untuk seri dalam perlawanan ini. Kami akan cuba mempamerkan aksi yang lebih baik dalam suku akhir kedua nanti," kata Figueroa.