Biarpun nasib berbeza dialami dalam dua perlawanan pertama, Terengganu FC (TFC) tidak mengambil mudah cabaran Negeri Sembilan menjelang aksi Piala Malaysia, Sabtu ini.

Malah, skuad TFC dituntut mengekalkan fokus serta tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan itu yang mengalami kekalahan kepada Kedah dan PKNS sebelum ini.

Negeri Sembilan juga masih dilihat pasukan berkualiti dengan kekuatan di bahagian sayap menerusi pemain import, Almir Neto, dan bekas tonggak TFC, Ferris Danial Mat Nasir.

Jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain, berkata kelibat Igor Luiz, yang mengetuai serangan lawan, turut perlu diambil kira dalam misi TFC mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.

"Negeri Sembilan bermain baik, cuma nasib tidak menyebelahi mereka ketika kalah kepada Kedah dan PKNS FC.

"Kami menjangkakan tentangan sengit kerana jika tidak bagus, Negeri Sembilan tidak akan beraksi dalam Piala Malaysia," katanya.

Nafuzi menambah kesempatan beraksi di Kuala Terengganu harus dimanfaatkan Sang Penyu untuk sebelah kaki melangkah ke suku akhir sebelum berkunjung ke Paroi.

Beberapa pemain seperti Nabil Ahmad Latpi, Khairul Anwar Shahrudin dan Abdul Malik Mat Ariff dijangka kembali memperkuatkan TFC selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya sudah mengingatkan pemain agar tidak ambil mudah.

"Rentak kemenangan ini boleh diteruskan jika kami kekal fokus kerana setiap perlawanan memberikan kesukaran," katanya lagi.