Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, lega pemain yang dipertanggungjawabkan untuk mengisi kesebelasan utama dalam perlawanan malam tadi apabila tidak mensia-siakan peluang yang diberikan ketika kutipan tiga mata penuh amat penting untuk memastikan peluang Perak ke suku akhir.

Jurulatih berusia 54 tahun itu tidak berselindung dengan melabelkan The Bos Gaurus tidak berada dalam situasi selesa sebaik tiga pemain utama mereka tidak dapat beraksi ekoran kecederaan dan penggantungan.

Namun, pulangan daripada pemain yang digantung harap benar-benar buat Durakovic lega sebaik 90 minit di Stadium Perak berakhir dengan kemenangan 3-1.

"Kami mempunyai pasukan yang besar.

"Semua pemain berlatih dengan gigih dan tidak pernah terlepas sesi latihan.

"Apabila mendapat peluang, mereka akan memanfaatkannya, terutama (Shahrel) Fikri dan (Muhammad Firdaus) Saiyadi yang mempamerkan persembahan menakjubkan.

"Pujian harus diberikan kepada semua pemain, mereka beraksi dengan baik," kata jurulatih dari Australia.

Dalam masa sama, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, akur dengan kekalahan pertama pasukannya dalam kempen Piala Malaysia.

Ini berikutan enam tonggak utamanya yang menyertai skuad kebangsaan baru-baru ini hanya kembali melaporkan diri sejak kelmarin, beliau seakan-akan sudah menjangkakan kesukaran anak buahnya.

"Pemain seperti Safuwan (Baharuddin) misalnya, kapal terbang yang dinaikinya tidak boleh mendarat dan terpaksa berpatah balik ke Singapura lalu ke Johor.

"Selepas itu dia terpaksa terbang pula ke Pulau Pinang untuk sampai ke Ipoh pada tengah malam (kelmarin) disebabkan jerebu.

"Pemain-pemain kebangsaan yang lain juga hanya dapat mula berkumpul di sini," kata Dollah.