Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi, enggan bertindak terburu-buru untuk menghukum kapten Melaka, Shukor Adan, walaupun pemain berpengalaman itu enggan beraksi ketika menentang Pahang, kelmarin.

Pertahanan itu mencetuskan kontroversi apabila membuat keputusan tidak mahu disenaraikan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat itu.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan, mengesahkan anak buahnya itu enggan bermain berikutan hatinya mungkin tiada dalam perlawanan terbabit.

Mengejutkan ramai pihak, tindakan pemain berusia 40 tahun itu bagaimanapun dipercayai mungkin berpunca daripada gaji tertunggak yang belum dijelaskan MUSA.

"Saya akan cuba panggil pemain ini (Shukor) termasuk jurulatih mengenai apa yang berlaku sebenarnya.

"Apa-apa tindakan sekalipun, kami akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak berterusan dan terhindar pada masa akan datang," katanya di Shah Alam, hari ini.

Barisan pemain Melaka sebelum ini disahkan tidak menerima bayaran gaji selama dua bulan selain tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Januari lalu.

Namun, difahamkan gaji tertunggak membabitkan bekas pemain negara itu adalah selama lima bulan walaupun Presiden MUSA, Adly Zahari, sempat menjamin pembayaran akan dibuat.