Masalah tunggakan gaji barisan pemain Melaka mencetuskan polemik baru apabila ketua pasukan, Shukor Adan, tidak menerima gaji daripada Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).

Barisan pemain skuad Hang Tuah itu sebelum ini disahkan tidak menerima bayaran gaji selama dua bulan selain tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Januari lalu.

Namun, pengesahan yang dibuat persatuan itu bercanggah dengan pendedahan terbaru Shukor di laman media sosial miliknya.

Dia mendakwa gajinya tertunggak selama lima bulan tetapi sebelum ini mengambil pendekatan berdiam diri dan tetap memberi komitmen kepada pasukan.

Situasi itu mendorong pertahanan berusia 40 tahun itu enggan beraksi ketika bertemu Pahang dalam pertemuan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

"Kenyataan (Shukor) itu agak pelik kerana setakat yang kami tahu, memang (gaji tertunggak membabitkan) bulan Julai dan Ogos, lagi tiga bulan itu saya tidak tahu.

"Kami telah bermesyuarat dengan presiden (merangkap Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari) Jumaat lalu dan kami telah memberitahu mereka tunggakan gaji itu akan diselesaikan pada minggu ini," kata Naib Presiden MUSA, Ashiq Abd Samad, ketika dihubungi.

Sementara itu, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sudah menerima aduan daripada pemain skuad Liga Super itu berhubung masalah berkenaan.

"Kami ada mendapat aduan tidak rasmi daripada wakil pemain (senior) Melaka.

"Kami juga ada menerima aduan rasmi daripada pemain Piala Presiden dan aduan tidak rasmi daripada pemain Piala Belia Melaka," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail.