Isu terbaru kini membelenggu saingan bola sepak tempatan tetapi bukan jerebu, sebaliknya virus Influenza B.

Ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K. Devan, mengesahkan pasukannya dilanda kemelut menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia menentang PKNP FC apabila beberapa pemainnya dijangkiti virus berkenaan sehingga perlawanan terpaksa ditunda kepada Jumaat ini.

Perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, yang dianggap misi hidup mati, sepatutnya berlangsung malam esok, dengan kemenangan akan menentukan pasukan yang akan layak ke suku akhir bagi mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara kumpulan.

Bagaimanapun, persiapan skuad kendaliannya terganggu apabila beberapa pemain kesebelasan utamanya disahkan jangkitan itu.

"Seramai lapan pemain dan pegawai disahkan menghidapi virus Influenza B selain beberapa pemain lagi ada menunjukkan tanda-tanda jangkitan ini.

"Doktor pasukan sedang membuat pengawasan dalam kalangan pemain dan pegawai yang dimasukkan ke hospital, termasuk mereka yang mempunyai kesan-kesan itu," katanya dalam persiapan pasukan itu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.

Tambahnya, kejadian itu akan merencatkan peluang pasukan PJ City untuk mara jika pemainnya tidak sempat pulih sebelum hari perlawanan.

"Kedua-dua pasukan ada peluang dan ia sangat penting buat kami.

"Tanpa kehadiran pemain yang terjejas dengan jangkitan ini, mungkin persiapan kami akan terganggu dan kami tidak dapat (menurun) kesebelasan terbaik," katanya.