TERENGGANU 3 NEGERI SEMBILAN 1

Piala Malaysia menjadi kejohanan kegemaran Kipre Tchetche selepas tiga golnya membantu Terengganu FC (TFC) mengatasi Negeri Sembilan 3-1 di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Muncul penjaring terbanyak edisi 2018 dengan sembilan gol, Tchetche kini mengumpul lima gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan setakat ini.

Satu gol dalam babak pertama serta dua lagi gol menyusul selepas rehat membuktikan penyerang Ivory Coast itu masih berbisa selepas saingan liga yang suram.

Awal permainan menyaksikan kedua-dua penjaga gol dipaksa bekerja keras, bermula dengan percubaan Tchetche yang ditepis keluar dan diikuti rembatan Jose Almir pada minit ke-10.

Gerakan Lee Tuck (m-16) memberi peluang kedua TFC dan memaksa pelawat beraksi agresif dengan kekasaran Aiman Mohd Khalidi ke atas Tchetche untuk meredakan tekanan.

Tandukan tinggi Khairul Izuan Rosli pada minit ke-37 serta peluang satu lawan satu Tchetche tiga minit kemudian hanya memberi bayangan pintu gol Negeri Sembilan akan bocor jua.

Hasilnya, pada minit ke-42 Tchetche menolak masuk hantaran pendek Sanjar Shaakhmedov selepas sepakan pemain Uzbekistan itu terlebih dahulu diselamatkan penjaga gol.

Ketinggalan 0-1, Negeri Sembilan memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, malangnya voli Izuan Salahuddin pada minit ke-53 terlalu lemah.

Hanya seminit kemudian, Tchetche bijak menyambar hantaran Adib Aizuddin dari sebelah kiri hanya untuk jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Jaringan kedua Tchetche dan TFC terhasil selepas penyerang Ivory Coast itu menanduk kemas sepakan sudut Tuck pada minit ke-56 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

8,000 penyokong TFC kemudian dikejutkan gol skuad pelawat pada minit ke-66 hasil tandukan Igor Luiz yang menerima umpanan pemain gantian, Ridzuan Abdunloh Pula.

Bermula daripada sepakan percuma Tuck, bola tandukan Abdul Malik Mat Ariff singgah di kaki Tchetche untuk penyerang sasa itu melengkapkan kemenangan 3-1 pada minit ke-86.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Keputusan lain:

SABAH 1 PAHANG 2

FELDA UNITED 1 MELAKA 3

PERAK 1 P PINANG 1