Hasrat penyokong bola sepak The Bos Gaurus (TBG) melihat Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan menjadi kenyataan apabila presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) itu mengumumkan peletakan jawatannya, petang tadi.

Hasnul Zulkarnain membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PAFA di pejabat persatuan itu.

"Dengan rasa rendah diri dan perasaan bercampur-baur, saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan peletakan jawatan saya," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, tindakan Hasnul Zulkarnain itu belum muktamad kerana perlu mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Eksekutif PAFA.

Walaupun tidak memberi sebab sebenar melepaskan jawatan, namun umum maklum bahawa keputusan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan ( NGO) dan Pembangunan Koperasi Negeri itu didorong oleh tindakan penyokong membuat bantahan, termasuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam.

Tindakan mereka itu kerana marahkan cara presiden PAFA itu melayani trofi unggul itu, termasuk mengepit di celah kangkang semasa berehat di tepi kolam seperti ditular.

"Tanpa berniat untuk memanjangkan persengketaan dengan penyokong fanatik bola sepak Perak, saya buat keputusan ini walaupun mempunyai rancangan besar untuk persatuan.

"Jelas, mereka tidak boleh menerima permohonan maaf saya yang dibuat secara jujur dan ikhlas," katanya.

Hasnul Zulkarnain jelas mencatat sejarah sendiri apabila menjadi presiden PAFA paling singkat, iaitu selama lima bulan selain orang pertama disingkir oleh penyokong Perak.