Harris mahu padam igauan final 2014

Oleh Staff Writer 1 November 2019 391
Harris mahu padam igauan final 2014
Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Harris Harun, mengakui memori pahit 2014 masih menghantui dirinya tatkala skuad Harimau Selatan itu kembali ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk aksi final Piala Malaysia menentang Kedah malam esok.

Final kali ini juga cukup istimewa buat Harris setelah kempunan beraksi dalam final 2017 yang menyaksikan JDT bergelar juara di Stadium Shah Alam.

Kekecewaan tewas kepada Pahang di pentas final Piala Malaysia lima tahun lalu masih belum terpadam dalam memori skuad Harimau Selatan itu.

JDT tersungkur di Bukit Jalil susulan kegagalan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, menyempurnakan sepakan penalti terakhir.

Menjadi igauan buruk kepada pemain JDT, Harris enggan episod duka itu berulang apabila sekali lagi akan beraksi di venue yang sama malam esok.

"Esok adalah hari untuk JDT melakar satu lagi sejarah baru. Apa yang berlaku pada 2014 sudah dilupakan dan kami sedia menampilkan yang terbaik di Bukit Jalil," katanya.

Pemain tengah dari Singapura ini turut sedia mengetepikan sentimen kenegaraan untuk aksi final pertamanya selaku kapten Harimau Selatan.

Dia akan bertembung dengan pertahanan Kedah, Shakir Hamzah, termasuk pengendali, Aidil Sharin Sahak, dalam perlawanan akhir itu.

"Kami berharap untuk mendapatkan keputusan terbaik beraksi dalam final esok, itu adalah keutamaan pasukan," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen