KELANTAN 1 JDT 0

Penyerang import kelahiran Brazil, Cristiano Santos, menamatkan kemarau jaringannya sambil menghadiahkan kemenangan 1-0 Kelantan ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.


The Red Warriors (TRW) membuat sedikit rombakan dengan menurunkan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni menggantikan Mohamad Azwan Ripin sebagai pertahanan kiri dan meletakkan penyerang muda, Mohammad Imran Samso dan Mohamad Khairul Rizam Che Soh, untuk merobek gawang JDT.

Agak mengejutkan, pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, membiarkan penjaring terbanyak TRW, Syafiq Shaharudin, di bangku simpanan.

Harimau Selatan pula turun ke Kota Bharu dengan moral yang hebat selepas membelasah Kedah 5-1 di Larkin, minggu lalu.

Dalam aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan beraksi hambar dan tidak banyak melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol. Banyak gerakan berlegar di kawasan tengah padang sahaja.

Percubaan terbaik JDT hadir pada minit ke-44 melalui sepakan percuma yang diambil Ahmad Hazwan Bakri yang ditanduk pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas, namun terus ditepis keluar penjaga gol TRW, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Selang seminit, TRW mendapat sepakan penalti apabila Mohamad Imran dijatuhkan pertahanan JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, dalam kotak penalti. Penyerang import, Santos, mudah menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias, untuk gol pertamanya musim ini.

Bersambung babak kedua, JDT melancarkan serangan bertali arus mencari gol penyamaan. Malangnya, segala asakan berjaya dihalang pertahanan import TRW, Cassio De Jesus.

Pada minit ke-75, melalui satu serangan balas, Kelantan hampir menggandakan kedudukan, namun sepakan lemah penyerang gantian, Mohamad Hakimi Abdullah, mudah ditangkap Farizal.

JDT kesuntukan masa sambil pengendali, Benjamin Mora, memasukkan senjata terakhir, penyerang, Darren Lok, untuk memburu jaringan penyamaan.

Kelantan yang terpaksa bertahan dalam minit-minit akhir permainan terpaksa membayar dengan harga yang mahal apabila dua pemain, Mohamad Shahrul Nizam dan Santos, dilayangkan kad merah.

Kemenangan ini membolehkan Kelantan naik ke tangga kedua Kumpulan C dengan empat mata hasil satu menang dan sekali seri manakala JDT jatuh ke tempat ketiga dengan tiga mata.

Keputusan lain:

Melaka United 2 PDRM 2