Penyerang Felda United, Hadin Azman, mahu terus memainkan peranan sebagai duri dalam daging buat Selangor dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Kapten pasukan itu sudah mula membayangi Selangor sejak aksi liga ketika dia menghadiahkan Felda United satu mata di Shah Alam, 3 Februari lalu.

Namun, ledakannya yang lebih membuatkan The Red Giants terkilan adalah ketika dia membantu Felda United menyingkirkan pasukan itu dalam pusingan ketiga Piala FA -- Hadin menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada dua minit terakhir perlawanan.

Dengan itu, dia bertekad untuk terus mengecewakan Selangor dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Saya tidak boleh nak janji tetapi apa yang penting, saya akan cuba bagi yang terbaik jika diberikan peluang untuk bermain menentang Selangor.

"Saya harap pemain lain juga akan memberikan 100 peratus dalam perlawanan itu.

"Kami sudah banyak kali bertemu mereka dan masing-masing sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Jadi, sesiapa yang buat kesilapan akan rugilah," katanya.

Hadin, yang menghampiri kemuncak kecergasannya susulan kecederaan, hampir pasti berada dalam perancangan ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil.

Dalam masa sama, dia menegaskan Felda United juga perlu mengkaji dua pesaing lain dalam Kumpulan D, iaitu PDRM dan Melaka.

"Kami tidak boleh memandang rendah PDRM, jika tidak sudah pasti mereka tidak berada dalam Piala Malaysia.

"Saya menyasarkan final tetapi kami perlu fokus satu-persatu," tambahnya.