"Ia gol tercantik sepanjang karier saya," kata penyerang PKNP FC, Yashir Pinto, selepas menghasilkan gol 'rabona' ketika menentang Kedah dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perbandaran Manjung semalam.

Berpunca daripada hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi, Yashir menggunakan teknik 'rabona' (sepakan dengan kaki bersilang) untuk menyempurnakan jaringan tunggal pasukannya.

Gol itu mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air dan ramai menganggap ia sebagai jaringan tercantik sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Adakalanya dalam latihan, saya gemar bermain seperti itu tetapi tidak pernah menggunakannya untuk menjaringkan gol.

"Saya tidak pernah melakukan percubaan ke arah gol seperti itu.

"Tetapi hari ini (semalam), bola itu datang ke arah saya dan ia terjadi dengan sendiri.

"Saya gembira kerana menjaringkan gol seperti itu.

"Ia yang terbaik sepanjang karier saya," katanya.

Pemain kelahiran Chile itu, bagaimanapun, sedikit terkilan kerana gol itu gagal membantu PKNP meraih keputusan positif di laman sendiri.

Pasukannya ditimpa kekalahan 1-2 pada penghujung perlawanan, yang menyukarkan peluang mereka untuk layak ke separuh akhir menjelang pertemuan timbal balik di Alor Setar hujung minggu ini.

"Kami akan berlatih dan bersedia kerana kami tidak mempunyai waktu yang panjang.

"Kami akan ke sana untuk memenangi perlawanan.

"Dalam pasukan ini, kami semua adalah pejuang dan akan bersaing hingga ke akhir," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui keghairahan anak buahnya untuk menambah jaringan memakan diri dan menjadi penyebab mereka tewas kepada Kedah

"Apabila kami terus memaksa, kita dapat nampak dalam separuh masa pertama, kami memang bermain mengikut perancangan.

"Tetapi dalam situasi bola mati, kami gagal untuk mengekang (Kedah)," katanya.

Kedah, yang juga juara Piala FA, berpeluang cerah untuk ke separuh akhir selepas meraih dua gol di laman lawan.

Bagaimanapun, pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, mengambil pendekatan berwaspada terhadap kelebihan yang dimiliki skuad Lang Merah itu.

"Dalam bola sepak, banyak perkara boleh berlaku.

"Kita dapat lihat pasukan yang hebat seperti Barcelona dan PSG (Paris Saint-Germain) boleh tewas dalam aksi timbal balik.

"Apa yang penting adalah diri kami sendiri dan bagaimana kami mahu ke separuh akhir," katanya.