Biarpun tempang tanpa tiga tonggak utama ekoran kecederaan dan komitmen peribadi, B. Sathianathan tetap sedia memacu skuad Selangor untuk tiga mata ketika menentang PDRM FA dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

The Red Giants menerima tamparan apabila kehilangan tonggak tengah, Halim Saari, Syazwan Zainon, dan pertahanan, Michal Nguyen, untuk pertemuan menentang The Cops.

Tatkala Halim diberi pelepasan kerana baru sahaja menerima kelahiran cahaya mata sulung, Syazwan dan Michal pula diketepikan ekoran masalah kecederaan.

Ketiadaan pemain terbabit, bagaimanapun, tidak meresahkan pengendali itu, yang sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemain sedia ada untuk menggalas misi penting.

"Kita perlu terima ini (sebahagian daripada asam garam) dalam bola sepak.

"Semua pasukan akan tempang, kami mempunyai 25 pemain dan sesesiapa yang diturunkan akan berikan yang terbaik," ujarnya.

Begitupun, Sathianathan enggan anak buahnya memandang mudah cabaran lawan susulan kejayaan mereka menundukkan Felda United 4-3 dalam aksi terakhir minggu lalu.

"Mereka bangkit ketika bertemu Melaka United dalam perlawanan pertama, jadi kami perlu berwaspada.

"Kalau kami tidak beraksi di tahap yang sepatutnya, kami akan menerima padahnya," katanya lagi.