Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memulakan langkah perubahan di bawah pucuk pimpinan baru apabila mengadakan bengkel bersama penyokong.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, mengakui bengkel itu merupakan usaha presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu menjadikan persatuan tersebut lebih terbuka.

Ia juga diadakan selepas mereka menyedari suara penyokong Selangor tidak didengari oleh pimpinan terdahulu, sekali gus menuntut perubahan besar sebelum kedua-dua pihak mencari jalan bersama untuk membangunkan skuad Selangor.

"Sebelum ini, semua perkara dalam FAS dikawal oleh exco atau jawatankuasa sahaja, di mana penglibatan awam sering diketepikan. Jadi, ini adalah usaha serta titik permulaan untuk menjadikan FAS milik rakyat Selangor," ujar Dr. Johan.

Bengkel itu juga menjadi bukti bahawa FAS serius dalam misi mengangkat kembali nama Selangor walaupun baru tiga bulan Tengku Amir menjadi presiden.

Bengkel itu menerangkan perkara terperinci mengenai perancangan dan pelaksanaan setiap program kepada penyokong sambil mewujudkan lima komponen utama dalam pengurusan pasukan utama, termasuk pembangunan akar umbi dan pengurusan hasil.

Majlis penutup bengkel itu akan disempurnakan sendiri oleh Tengku Amir esok.