Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menegaskan badan induk itu masih mempertimbangkan peletakan jawatan Subkhiddin Salleh selaku pengerusi jawatankuasa pengadil dan exco FAM, semalam.

Surat peletakan jawatan daripada Subkhiddin secara rasminya telah diterima FAM.

Namun, keputusannya masih dipertimbangkan badan induk itu yang khabarnya akan mengadakan perbincangan terperinci berhubung hasrat yang telah diluahkan pengadil berpengalaman itu.

"Ya, kami kecewa dengan keputusan Subkhiddin memandangkan beliau adalah individu yang tepat untuk menyandang jawatan itu.

"Apapun, perkara ini akan dibentangkan dalam mesyuarat exco FAM nanti dan akan diputuskan pada penghujung bulan ini," kata Stuart.

Pengumuman drastik Subkhiddin untuk meletakkan jawatan mengejutkan semua pihak.

Bekas pemain bola sepak Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, juga menganggap tindakan Subkhiddin itu perlu dinilai semula.

Ia menjadi kerugian andai kredibiliti Subkhiddin disia-siakan hanya atas dasar ingin bertanggungjawab terhadap isu mutu pengadilan yang berlaku ketika insiden perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Terengganu dan Perak, 27 Oktober lalu.

"Kami mengharapkan ada pihak-pihak tertentu boleh memujuk beliau supaya menarik hasrat peletakan jawatan," kata Ahmad Shahrul.