Faisal Abdul Halim mengetepikan sentimen bekas pasukan apabila sedia memusnahkan hajat Pulau Pinang sempena kepulangannya ke Stadium Bandaraya dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia, malam ini.

Pemain sayap itu bakal membuat kemunculan semula di stadium berkenaan selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.

Sememangnya, ia mempunyai nilai sentimental buat pemain kelahiran Bukit Mertajam itu apabila bakal tampil di tempat yang pernah mencipta namanya.

Namun, Faisal enggan berbela- bahagi dengan komitmen di atas padang walaupun negeri kelahirannya menagih 'ihsan' Pahang untuk ke suku akhir.

"Saya begitu bersemangat. Stadium Bandaraya merupakan stadium yang agak gah di utara.

"Tetapi (tiada istilah) dalam soal di mana saya makan gaji walaupun akan berdepan negeri kelahiran," katanya.

Kelibat pemain berusia 21 tahun itu sudah pasti ditagih pengendalinya, Dollah Salleh, sebagai 'supersub' Tok Gajah dalam perlawanan terakhir Kumpulan C itu.

Meskipun sudah mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati, juara empat kali itu tetap memburu kemenangan untuk mengharungi ujian lebih getir di peringkat seterusnya.

"Kami perlukan kemenangan dan mahukan rentak kemenangan (sebagai bekalan) untuk ke suku akhir.

"Semestinya saya akan buat yang terbaik. Saya akan berikan segala kudrat," katanya lagi.

Satu lagi aksi kumpulan itu menemukan Sabah dan Perak yang masih berpeluang untuk mara selain dua aksi Kumpulan D yang menyaksikan penentuan getir PDRM FA dengan Melaka United sementara Felda United melawan Selangor.